Friday, 6 September 2013

USRAH

Maksud
Usrah dari segi bahasa membawa maksud 'keluarga' manakala dari segi istilah pula bermaksud satu majlis yang dianggotai oleh sekumpulan orang yang beriman kepada Allah dan dianjurkan untuk membentuk suatu muafakat bagi memahami dan menghayati agama Islam.

Anggota
Bilangan anggota usrah biasanya terhad kepada sesuatu aras hiraki tertentu. Setiap anggota usrah dari sesuatu aras hiraki pula mempunyai anak buah usrahnya sendiri yang juga terhad kepada aras hirakinya.
Tempat
Usrah biasanya diadakan di rumah anggota usrah secara giliran atau mana-mana tempat yang sesuai serta dipersetujui oleh anggotanya seperti di surau, musolla, masjid dan sebagainya.

Tujuan

  • Membangunkan dan mengukuhkan kefahaman anggota usrah terhadap ajaran Islam serta menentukan sikap terhadap sesuatu masalah sebagai umat Islam.
  • Meningkatkan penghayatan dan menjana nilai tanggungjawab terhadap ajaran Islam secara peribadi dan jemaah.
  • Membina satu generasi Islam yang mengenali dan menghayati Islam sebagai 'din wa daulah' dalam kehidupan peribadi serta menanamkan azam mendakwahkannya sebagai budaya keluarga, masyarakat dan negara.
  • Membina generasi Islam yang menegakkan akhlak Islamiah dalam diri.
  • Membina generasi Islam yang peka terhadap unsur-unsur yang mengancam kemurnian Islam.
  • Mendidik dan membina rasa tanggungjawab terhadap Allah dan Rasul-Nya.
  • Menghubungkan anggota secara langsung dengan al-Quran dan Sunnah.
  • Mengikhlaskan diri anggota kepada Allah untuk mencari keredaan-Nya.
  • Menggiat dan menyelaraskan usaha mengilmukan diri di kalangan anggota.
  • Merapatkan silatulrahim dan mengukuhkan ukhwah serta memupuk semangat hidup berjemaah.

Perlaksanaan

  • Usrah dianjurkan dengan kekerapan yang munasabah. 
  • Majlis usrah dikendalikan oleh seorang naqib atau naqibah.
  • Solat berjemaah, berwirid, membaca dan menghayati al-Quran adalah aturcara utama majlis usrah.
  • Sesuatu majlis usrah ditentukan tajuk atau topik beserta sumber rujukannya terlebih awal.
  • Suatu rumusan atau keputusan perlu dicapai dalam suatu usrah sesudah perbincangan dan perbahasan  yang teliti. Usrah tidak wajar ditamatkan tanpa kesimpulan atau keputusan dan jika perlu boleh dilanjutkan dalam beberapa siri usrah sehingga mencapai suatu kesimpulan atau keputusan yang konkrit.
  • Tajuk atau topik usrah yang akan datang ditentukan oleh arahan pimpinan, naqib atau menururut ketetapan bersama.
  • Sebahagian daripada waktu atau siri usrah hendaklah diperuntukkan khusus kepada organisasi dan hal ehwal semasa serta perkembangan perjuangan umat Islam di dalam dan luar negara.
  • Usrah hendaklah ditangguhkan atau bersurai pada masa yang sewajarnya (sekitar jam 11 malam) dengan membaca tasbih kafarah dan surah Al-Asr.
    
Rukun Usrah
1. Taaruf
Taaruf bermaksud berkenalan secara mendalam hingga menimbulkan kasih sayang dengan tujuan al-hubbufillah.

Firman Allah: Maksudnya:
Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara...

Dan Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:
Orang yang beriman dengan orang yang beriman yang lain laksana satu binaan, saling kuat menguat antara satu dengan yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: Kami mengasihi saudara kerana dia adalah saudara pada jalan Allah.
    
At-Taaruf ialah kenal mengenal dari bab mufa'alah (daripada dua belah pihak) salbi dan i-jabi (memberi dan menerima)--kenal yang benar-benar, tahu selok-belok tentang saudara kita, supaya kita membuat dan bertindak untuk mengarah sesuatu yang sesuai dengannya.

2. Tafahum
Tafahum maksudnya bersefahaman. At-tafahum daripada bab mufa'alah juga, bertujuan supaya usrah membuahkan suatu sikap, satu tindakan daripada sama-sama faham, sama-sama beramal iaitu sama-sama menjalankan perintah Allah, tunduk kepada kebenaran, muhasabah diri, muhasabah sesama jemaah dan disusuli dengan nasihat menasihati antara saudara (ad-Dinul nasihah).
    
3. Takaful
Rukun ini merupakan dasar membela nasib sesama sendiri, supaya jangan ada orang yang terbiar atau terlantar nasibnya tidak terbela. Maksud rukun ini ialah anggota usrah hendaklah mengambil berat masalah-masalah yang dihadapi oleh saudaranya. Takaful ini merupakan pancaran pekerti yang dilahirkan daripada keimanan, dan merupakan inti sari daripada ukhwah yang murni.

Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:
Sesungguhnya seorang kamu pergi menunaikan sesuatu keperluan saudaranya lebih baik baginya daripada beriktikaf di masjid aku selama sebulan..

Dan sabdanya lagi, maksudnya:
Sesiapa yang telah memasukkan kegembiraan iaitu menghilangkan kesusahan dan kesukaran kepada keluarga muslim, maka Tuhan tidak melihat balasan kepada selain syurga...
    
Adab Usrah
    
1. Ikhlas hanya kepada Allah seperti firman-Nya

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاء وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ

Dan tidaklah mereka disuruh, melainkan supaya menyembah Allah, serta mengikhlaskan agama bagi-Nya, beribadat mengharapkan keredaan-Nya) sambil cenderung kepada tauhid, dan supaya mereka mendirikan solat dan memberikan zakat dan itulah agama yang lurus (betul). - Al-Bayyinah

dan Sabda Rasulullah:

انما الأعمال بالنيات وانما لكل امرى مانوى

Hanya segala amal itu dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seseorang itu apa yang diniatkannya. - Muttafaqun 'alaih

2. Meminta Izin Masuk

Meminta izin untuk masuk serta memberi salam sebelum memasuki rumah anggota atau tempat diadakan majlis usrah. Firman Allah Taala,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَدْخُلُوا بُيُوتاً غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتَّى تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَى أَهْلِهَا ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam rumah yang bukan rumahmu, sehingga kamu minta izin dan mengucapkan salam (selamat) kepada yang empunyanya. Demikian itu lebih baik bagimu, mudah-mudahan kamu mendapat peringatan. - An-Nur:27

3. Menepati Masa

Datang ke majlis tepat pada waktu yang ditetapkan. Sabda Rasulullah s.a.w.: Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

Tanda orang munafik itu tiga, iaitu jikalau dia berkata dia berdusta, jikalau berjanji dia memungkiri dan jikalau diamanahkan dia khianat. - Mutaffaqun'alaih

4. Suci

Datang ke majlis dalam keadaan berwuduk dan memakai pakaian yang sopan, bersih, suci serta sempurna.

Dari Abu Malik Al-Asy'ari r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:

Bersuci itu separuh daripada keimanan. - Riwayat Muslim

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi, maksudnya:

Dari Usman bin Affan r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang berwuduk lalu memperbagus wuduknya (menyempurnakan sesempurna mungkin) maka keluarlah kesalahan-kesalahannya sehingga keluarnya itu sampai dari bawah kuku-kukunya. - Riwayat Muslim

5. Beritahu Naqib Jika Tidak Hadir

Jika tidak dapat hadir kerana uzur syari'i, hendaklah segera memberitahu hal itu kepada naqib atau naqibah atau sekurang-kurangnya kepada sahabat yang menjadi tuan rumah tempat usrah.

6. Bersedia dari Segi Mental dan Perlakuan

Datanglah ke majlis dengan persiapan yang telah diamanahkan setelah kita sanggup untuk menunaikannya.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

وَأَوْفُواْ بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْؤُولاً

Dan penuhilah perjanjian dan sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya. - Al-Isra:34

7. Membawa Sumber dan Alat Tulis

Sediakan keperluan seperti al-Qur'an, teks surah, buku-buku catatan dan al-Ma'thurat (jika perlu). Kegagalan berbuat demikian akan mengganggu sahabat yang dikongsi teksnya.

8. Mengukuhkan Ukhwah

Datang ke majlis dengan hasrat untuk mengukuhkan ukhuwah dan berkasih sayang kerana Allah.

Maksud hadis:
Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah Ta'ala berfirman pada hari kiamat "Manakah orang-orang yang saling cinta-mencintai kerana keagungan-Ku? Pada hari ini mereka itu akan Aku beri naungan pada hari ini tiada naungan melainkan naungan-Ku sendiri."  - Riwayat Muslim

9. Menuntut Ilmu

Berazam untuk mendapatkan ilmu dan kefahaman bagi diamalkan dan disampaikan kepada orang lain kecuali perkara yang rahsia.

Maksud hadis:

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan di situ, maka Allah akan memudahkan baginya suatu jalan untuk menuju ke syurga. - Riwayat Muslim

10. Duduk dengan Sopan

Duduk dengan sopan kerana majlis usrah adalah majlis zikrullah dan dihadiri sama oleh para malaikat.

Sabda Rasullah s.a.w., maksudnya:
Dari Abu Hurairah r.a. Abu Said r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:

Tiada suatu kaum pun duduk-duduk sambil berzikir kepada Allah melainkan dikelilingi oleh para malaikat dan ditutupi oleh rahmat serta turunlah kepada mereka itu ketenangan dalam hati mereka dan Allah mengingatkan mereka kepada makhluk-makhluk yang ada di sisinya yakni disebutkan-sebutkan hal ehwal mereka itu di kalangan para Malaikat. - Riwayat Muslim

11. Fatihah dan Selawat

Mulakan majlis dengan membaca al-Fatihah dan berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Maksud hadis:
Dan daripada (Abu Hurairah) dari Nabi s.a.w. sabdanya: Tiada suatu kaum pun yang duduk di suatu majlis yang mereka tiada berzikir kepada Allah Ta'ala dalam majlis tadi, juga tidak mengucapkan bacaan selawat kepada Nabi mereka di dalamnya, melainkan atas mereka itu ada kekurangannya. Jikalau Allah berkehendak, maka Allah akan menyeksa mereka dan jikalau Allah berkehendak, maka Allah akan mengampunkan mereka. - Riwayat Tarmizi

12. Menyampaikan kepada Orang Lain

Mendengar segala penjelasan, bacaan-bacaan, arahan-arahan dan pengajaran dengan teliti dan tenang sambil cuba memahaminya, mencatat dan mengingat fakta dengan tepat sebelum disampaikan kepada orang lain.

Maksud hadis:

Dari Abi Bakrah r.a. dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: Hendaklah orang yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir kerana sesungguhnya mudah-mudahan (diharapkan) orang yang disampaikan itu kepadanya lebih hafaz dan lebih faham dari yang menyampaikannya. - Riwayat Bukhari dan Muslim

13. Bertanya dengan Izin

Memohon penjelasan atau mengemukakan pertanyaan selepas diberi peluang atau setelah meminta izin naqib atau naqibah.

14. Mencelah Hanya Apabila Sangat Perlu

Jangan mencelah ketika naqib atau sahabat sedang memberi penerangan kecuali dalam perkara yang memerlukan teguran yang segera (seperti membetulkan bacaan yang silap). Jika kita mencelah, naqib atau sahabat usrah mungkin kehilangan tumpuan terhadap perkara yang sedang diperkatakan.

15. Mengawal Suara

Jangan mengangkat suara tinggi lebih daripada keperluan pendengar. Hal Ini dilarang oleh Allah sebagaimana firman-Nya

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحاً إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ

Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. - Luqman :19

16. Tenang dan Serius

Jangan banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah bersifat tenang dan serius.

Maksud hadis:
Dari Anas r.a. katanya: Nabi Muhammad s.a.w. mengucapkan sebuah khutbah yang saya tidak pernah mendengar suatu khutbah pun seperti itu kerana amat menakutkan. Baginda bersabda: "Andai kata engkau semua dapat mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya engkau semua akan sedikit ketawa dan banyak menangis." Para sahabat menutupi wajah masing-masing sambil mendengar suara esakannya. - Mutaffaqun'alaih

17. Jangan Bergurau

Jangan banyak bergurau. Umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara. Banyak bergurau akan menjadikan majlis usrah bertukar menjadi majlis jenaka, gurau senda dan gelak ketawa. Keperluan bergurau terkawal dan terhad pada perkara yang benar sahaja.

18. Jangan Merokok

Jangan merokok di tempat usrah.

19. Jangan Banyak Soal

Jangan mempersoalkan arahan-arahan yang telah diberikan dengan jelas dan menepati syarat.

Maksud hadis:
Sesungguhnya binasa umat sebelum kamu kerana mereka banyak menyoal (yang tidak berfaedah) dan mereka suka menyalahi Nabi-nabi mereka. - Mutaffaqun'alaih

20. Izin keluar Majlis

Minta izin dari naqib sebelum keluar dari majlis kerana sesuatu keperluan. Keluar dari majlis tanpa izin merupakan perangai orang munafik.

Firman Allah

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِذَا كَانُوا مَعَهُ عَلَى أَمْرٍ جَامِعٍ لَمْ يَذْهَبُوا حَتَّى يَسْتَأْذِنُوهُ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَأْذِنُونَكَ أُوْلَئِكَ الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ فَإِذَا اسْتَأْذَنُوكَ لِبَعْضِ شَأْنِهِمْ فَأْذَن لِّمَن شِئْتَ مِنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمُ اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Sesungguhnya yang sebenar-benar orang mukmin ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan apabila mereka berada bersama-sama Rasulullah dalam sesuatu urusan yang memerlukan pertemuan, mereka tidak meninggalkan (Rasulullah) sebelum meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (Muhammad) mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, maka apabila mereka meminta izin kepadamu kerana sesuatu keperluan, berilah izin kepada siapa yang kamu kehendaki antara mereka, dan mohonkanlah ampunan untuk mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. -  An-Nur :62

21. Jangan Bertengkar

Jangan sekali-kali bertengkar kerana pertengkaran akan merenggangkan ukhwah sedangkan antara matlamat usrah ialah untuk memupuk ukhwah.

Allah berfirman

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Orang-orang mukmin itu sesungguhnya bersaudara. Sebab damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu dan takutlah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat. - Al-Hujurat, 49:10

Firman Allah lagi,

وَأَطِيعُواْ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَلاَ تَنَازَعُواْ فَتَفْشَلُواْ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُواْ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. - Al-Anfal

22. Berusaha mengenali sahabat

Sentiasa berusaha di dalam dan di luar majlis usrah untuk mengenali sahabat-sahabat satu usrah.

23. Membaca Tasbih Kafarah

Akhiri majlis dengan membaca tasbih kafarah dan surah al-Asr secara sedar dan memahami serta menghayati maknanya.

Tasbih Kifarah:

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك

Maha Suci engkau Ya Allah dan aku naik saksi Tiada Tuhan Melainkan Engkau dan aku memohon ampun serta taubat kepadaMu

Al-Asr

وَالْعَصْرإِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرإِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Demi masa sesungguhmanusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang pesan memesan dengan kebenaran dan pesan-memesan dengan kesabaran.

Maksud hadis:
Daripada Abu Barzah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda pada penghabisannya jikalau beliau s.a.w. hendaklah berdiri dari majlis yang ertinya: "Maha Suci Engkau ya Allah, dan saya mengucapkan puji-pujian pada-Mu. Saya menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Engkau saya mohon ampun serta bertaubat pada-Mu." Kemudian ada seorang lelaki berkata. "Ya Rasulullah! Sesungguhnya tuan mengucapkan sesuatu ucapan yang tidak pernah tuan ucapkan sebelum ini." Baginda bersabda: "Yang demikian itu adalah sebagai kafarah (penebus) daripada apa saja yakni kekurangan-kekurangan atau kesalahan-kesalahan yang ada di dalam majlis itu."

Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud juga diriwayatkan oleh imam Hakim iaitu Abu Abdillah dalam kitab Al-Mustadrak dari riwayat Aisyah radiallahu anha dan ia mengatakan bahawa hadis ini adalah sahih isnadnya.

24. Bersalaman

Bersalaman dan saling bermaaf-maafan selepas selesai majlis. Firman Allah s.w.t.,

الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاء وَالضَّرَّاء وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

(Iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik pada waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan marahnya serta memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. - Ali Imran:134

Firman Allah s.w.t. lagi:

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ

Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh." - Al-A'raf, :199

25. Bersegera Pulang

Terus pulang apabila selesai majlis kecuali ada keperluan yang penting. Berilah peluang kepada tuan rumah untuk berkemas dan fahamilah bahawa tuan rumah mungkin letih dan hendak segera berehat atau dia ada urusan lain.

26. Menjaga Rahsia Jemaah

Rahsiakan setiap perbincangan, maklumat atau arahan yang telah diputuskan tentang sesuatu perkara atau setiap perkara yang dikirakan tidak patut untuk disebarkan.

Tugas Naqib

  • Bahan Asas - Pastikan anak buah mempunyai bahan-bahan asas seperti al-Qur'an dan terjemahannya, buku dan alat tulis.
  • Muhasabah - Adakan satu sistem untuk muhasabah anak buah. Lakukan mengikut tahap-tahap tertentu, secara terbuka atau individu.
  • Jamuan - Boleh diadakan jamuan dengan bersederhana dan boleh juga diadakan usrah dengan tiada jamuan.
  • Menjaga Ibadah Khusus - Kesempurnaan beribadat seperti solat, puasa, zakat dan ibadat nawafil serta sesekali dianjurkan ibadat nawafil jama'i seperti qiamullail, puasa, zakat harta dan lain-lain.
  • Pemilihan Tajuk - Pemilihan tajuk / topik usrah sebaiknya berdasarkan keadaan / keperluan kumpulan usrah sendiri kearah mencapai matlamat usrah.
  • Cungkil & Asah Bakat - Naqib hendaklah mencungkil bakat dan mengasah bakat anggota usrahnya dengan memberi peluang anggotanya mengembangkan bakat di kalangan anggota usrah mahupun di luar usrah.
  • Tambah Ilmu - Menggalakkan anak buah mengilmukan diri dengan jalan membaca, mendengar kuliah dan sebagainya.
  • Wujudkan Ranting (Subkumpulan) - anggota usrah dikehendaki mengadakan subkumpulannya sendiri dengan kaedah yang sama dan naqib perlulah membuat seliaan atau pemantauan.
  • Teks Usrah - Pada peringkat permulaan adalah terlebih baik setiap usrah mempunyai bahan rujukan , kitab atau teks tertentu.
  • Tabung Usrah - Tabung usrah diujudkan dengan pungutan derma walaupun dengan kadar yang paling sedikit.
  • Aktiviti Sokongan - Anjurkan aktiviti sokongan seperti ziarah, berusrah di luar seperti di tempat rekreasi atau pelancongan yang sunyi, perkhemahan bermalam, dan lawatan yang sesuai.
  • Profil Ahli - Maklumat peribadi ahl i/ anggota seperti maklumat perhubungan dan sebagainya amat berguna dan hendaklah diurus dengan baik.
  • Mengikuti Perkembangan Sahsiah - Naqib bertanggungjawab mengikuti perkembangan sahsiah anggota usrahnya samada dalam usrah atau di luar usrah.

No comments:

Post a Comment