Monday, 16 September 2013

Kata dikota

Suatu masa Ayah Ngah pulang ke kampung halaman di Perlis. Seorang rakan dari Lekir, Perak ikut sama ke kampung halaman Ayah Ngah. Setelah beberapa hari di kampung, Kami bersiap untuk pulang kembali ke Perak.

Kami menempah tiket bas ekspress dari Kangar ke Ipoh. Untuk ke stesen bas Kangar, kami memerlukan batuan untuk menghantar kami dari kampung ke bandar Kangar kerana di kampung Ayah Ngah tiada kemudahan pengangkutan awam.

Hari sebelum kami bertolak pulang, ayahanda Ayah Ngah menjemput seorang sahabatnya ke rumah kerana berhajatkan sedikit bantuan.

Petang itu sahabat ayahanda Ayah Ngah bertandang ke rumah. Setelah menjamah minuman panas yang dihidangkan serta berbual pendek, ayahanda Ayah Ngah pun melahirkan hasratnya.

"Pagi esok hang ada kerja ka ?" Tanya ayahanda.

"Tak dak kerja apa . Awat nya ?" Balas sahabat ayahanda.

"Anak-anak aku ni nak balik ke Perak esok. Depa naik bas di Kangar. Pagi esok aku nak motong (menoreh getah) takut tak dan (tak sempat) nak hantar. Tu la kalau hang tak dak apa kerja nak minta hang tolong hantar depa pi Kangar." Jelas ayahanda.

"Tak pa la kalau lagu tu, esok aku hantar lah." Putus sahabat ayahanda itu.

Esok nya, belum pun jam 8.00 pagi, sahabat ayahanda Ayah Ngah itu sudah pun sampai ke rumah ayahanda. Beliau masuk lalu duduk bersila setelah dipelawa. Sambil menjamah hidangan sarapan pagi beliau menghadap ayahanda.

"Hujan pula hari ni. Tak jadi aku pi motong. Jadi macam mana la ni . Sapa nak hantar depa ni ? Kalau aku hantar pun boleh." Kata ayahanda.

"Kan kemarin (semalam) kita dah putuih (putus) aku yang hantar. Kena aku la hantar." Kata sahabat ayahanda tegas.

"Dak la, kemarin kata aku nak motong. Dah hujan tak leh motong. Boleh la aku hantar depa. Tak nyusahkan hang pula." Balas ayahanda.

"Mana boleh lagu tu. Dah kata aku yang hantar, aku hantar. Hang tak pi motong pun hang dok rumah." Putus sahabat ayahanda muktamad.

"Betui dah lagu tu." Kata ayahanda tersengih.

Maka sahabat ayahanda Ayah Ngah pun menghantar kami ke stesen bas Kangar pagi itu.

Begitulah antara teladan yang Ayah Ngah lihat dalam amalan kehidupan harian generasi ayahanda Ayah Ngah dan sahabat-sahabatnya. Mereka amat berpegang teguh pada janji dan kata-kata. Semoga teladan begini dapat dicontohi oleh generasi kita hari ini dan  juga generasi kita yang akan datang.

Daftar kata loghat Perlis :
hang = kamu, engkau
pi = pergi
depa = mereka
tak dak = tak ada
motong = menoreh
kemarin = semalam
ka = kah
awat = mengapa
dak la = tak lah
dok = duduk, tinggal
putuih = putus
betui = betul
lagu = macam

Malam seebelum pulang ke Perak, Ayah Ngah dan sahabat Ayah Ngah dari Lekir, Perak itu bertandang ke rumah sahabat ayahanda Ayah Ngah tadi menziarahi anaknya yang merupakan rakan sepermainan Ayah Ngah semasa kecil. Sambil minum kopi kami berbual-bual mengenai kenangan lama semasa kecil dahulu. Dalam pada itu, Ayah Ngah teringatkan sejenis bunga rumput yang kami gelarkan "misai harimau".

Tangkai bunga rumput "misai harimau" itu mempunyai keistimewaannya yang agak pelik kerana apabila dimasukkan ke dalam mulut (sebenarnya membasahkannya dengan liur) dan kemudian dikeluarkan dan diletak di atas lantai, tangkai bunga rumput kering itu akan bergerak dengan sendirinya seolah-olah hidup.

Ayah Ngah bertanya kepada sahabat Ayah Ngah itu samada dia ada menyimpan rumput itu lagi. Sahabat Ayah Ngah itu tertawa sambil bangun mengambil sebuah balang plastik yang penuh dengan bunga rumput "misai harimau" itu.

Kami pun "menghidupkan" tangkai bunga rumput itu. Tangkai bunga rumput itu mengeliat dan berguling-guling bila diletakkan dalam piring alas cawan kopi. Sahabat Ayah Ngah dari Perak itu terperanjat besar melihat tangkai bunga rumput kering tiba-tiba menjadi "hidup".

Sahabat Ayang Ngah itu berbisik kepada Ayah Ngah ingin meminta bunga rumput itu untuk dibawa pulang ke Perak. Sahabat ayahanda Ayah Ngah itu bagaikan tahu-tahu sahaja.

"Esoklah pakcik bagi kamu benda tu." Katanya.

Sahabat Ayah Ngah terdiam sahaja.

Keesokan paginya seperti yang dijanjikan, sahabat ayahanda Ayah Ngah itu menjemput kami untuk ke stesen bas. Sahabat Ayah Ngah berasa sangat kecewa kerana tidak ada tanda-tanda dia akan dapat bunga rumput yang dijanjikan malam tadi.

"Agaknya orang tua tu lupa. Tak dapatlah rumput tu bawa balik." Bisik sahabat Ayah Ngah.

Ayah Ngah hanya berdiam diri.

Kami menaiki kereta yang dipandu sahabat ayahanda Ayah Ngah menuju ke Kangar. Di tengah perjalanan, sahabat ayahanda Ayah Ngah yang sedang memandu kereta menyeluk saku baju kemejanya dan mengeluarkan sebuah bungkusan kertas.

"Nah, bagi kawan kamu tu yang pakcik janjikan semalam." Katanya sambil menghulurkan bungkusan kertas itu kepada Ayah Ngah.

Ayah Ngah pun terus menghulurkan bungkusan itu kepada sahabat Ayah Ngah yang duduk di tempat duduk belakang. Sahabat Ayah Ngah tersenyum gembira.

Begitulah perlakuan generasi ayahanda Ayah Ngah dan sahabat-sahabatnya. Ayah Ngah yang sedari kecil diasuh dan dididik dengan amalah berhikmah amat faham dengan budaya begitu kerana di sebalik perlakuan yang ditunjukkan, mereka sebenarnya mendidik generasi anak-anak mereka dengan amalan cara hidup harian yang berhikmah.

Hikmah di sebalik peristiwa begini ialah ;

1. Menangguhkan hasrat seseorang (jika hasrat itu bukan terlalu mendesak) supaya dapat melatih mereka bersabar dan mampu menahan sesuatu keinginan hati.

2. Menangguhkan hasrat seseorang itu (jika hasrat itu bukan terlalu mendesak) supaya ia tidak terlalu mudah mengharap dan bersedia menghadapi kekecewaan (redha).

3. Menangguhkan hasrat seseorang itu (jika hasrat itu bukan terlalu mendesak) supaya seseorang itu tidak mudah meminta-minta.

4. Menunjukkan bahawa tidak perlu bercakap banyak. Memadai dengan sekali cakap tetapi janji tidak diabaikan. Setiap kata tetap dikota.

No comments:

Post a Comment